Sep 3, 2008

Kemerdekaan = Kebebasan

31 Ogos telah berlalu...kebanyakan rakyat Malaysia meraikannya dengan cara tersendiri. Ada yang berkumpul beramai-ramai, melepak bersama ahli keluarga dihadapan televisyen, berhibur kesana-kemari dan tidak kurang juga yang melaluinya dengan rutin harian sahaja. Ya, aku tergolong dalam golongan yang terakhir itu. Sebenarnya, setiap tahun pun aku begitu. Pernah juga ku bertanya pada diri sendiri, mengapa aku tidak teruja menyambutnya seperti ramai insan lain?

Aku faham, bagi mereka, negara ini sudah merdeka. Aku juga faham, bagi mereka, diri mereka juga sudah merdeka. Mengapa aku pula rasa tidak merdeka? Mengapa aku rasa masih belum bebas?

Bagiku, tiada peperangan senjata tidak bererti merdeka. Bagiku juga tiada kekejaman dan kezaliman tidak bererti kita bebas. Setiap detik yang kita lalui masih dipenuhi peperangan dan kezaliman. Mungkin sakitnya tidak pada tubuh badan, tapi sakitnya jauh tertusuk dalam hati. Kejam dan zalimnya kita pada minda sendiri tidak pernah dipersoal. Akhirnya, apabila mereka merdeka, kita juga kononnya merdeka.

Kita sering mengutuk kekurangan orang lain, sedangkan kita sendiri tidak pernah dapat menerima kritikan membina daripada mereka yang ikhlas menegur. Kita sering menganggap kita betul sedangkan orang lain yang ternyata lebih tahu hanya menerima dengan senyuman.
Mereka yang cuba membantu supaya kita tidak tersalah akhirnya dijauhi. Mereka yang sering mengiyakan dengan seribu kemahuan difikiran menjadi kesukaan. Kebenaran ditolak mentah-mentah kerana mungkin akan menjejaskan kedudukan sendiri. Kepalsuan diterima dengan hati terbuka kerana habuannya sering menjadi mimpi.

Kita kata ingin menjadi orang yang berguna, tapi hakikatnya kita adalah sampah yang semakin membukit. Kita mahu maju bersama orang lain asalkan jangan mereka melebihi kita. Kita ingin menderma dengan hati yang ikhlas tapi masih bertanya apa yang akan mereka lakukan dengan wang itu. Kita mahu semuanya tapi kita tidak pernah mahu memberi walaupun sedikit.

Temanku pernah berkata...lihat bangsa Melayu. Anak muda bermati-matian mengumpul duit demi membeli sebuah motosikal. Lihat pula anak muda bangsa lain, bermati-matian mengumpul duit demi memiliki sebuah perniagaan walaupun hanya dengan membuka kiosk menjual handphone. Lihat lagi remaja Melayu pulang dari sekolah. Kebanyakannya menaiki motosikal sendiri ataupun pemberian keluarga. Topi keledar tidak perlu kerana rumah dekat sahaja. Lihat pula remaja lain pulang dari sekolah. Mungkin 1 dalam 1000 yang menunggang motosikal, yang lainnya dijemput keluarga atau menggunakan perkhidmatan awam. Lihatlah kita ini. Jika anak kita dilanggar, seribu daya ingin menyalahkan orang lain. Jika anak kita melanggar orang lain, seribu perkara kita persoalkan.

Bila Melayu nak berniaga, semua orang perlekeh. Bila yang lain berniaga, sanggup jadi promoter sambilan. Bila Bumiputera buat produk, semua kata tak bagus. Bila produk datang dari luar, semua sanggup beli banyak-banyak buat stok. Hakikatnya, produk yang sama cuma kita eksport pastu diorang import balik benda yang sama, letak nama lain. Harga berganda-ganda naik. Hahahaha...kena tipu hidup-hidup.

Penatnya memikirkan celotehku ini. Bangsaku tidak sedar-sedar juga. Mungkin suatu hari nanti bila nenek moyang kita datang balik, cubit pipi kita, bagi kita bangun dari mimpi. Kemudian nenek moyang kata "Hoi, sedarlah sikit. Penat-penat aku pertahankan hak kita dulu, senang-senang je korang gadaikan balik semuanya. Tak perasan pulak tu. Yang dok agung-agungkan sangat orang luar tu kenapa?"

"Yelah tok, nenek. I'm sorry. We're sorry."

0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails
 

ADAMUMMY | Desenvolvido por EMPORIUM DIGITAL