Aku hanyalah insan biasa yang punya kekurangan. Di suatu hari, sedang ku berjalan bersahaja melayari kehidupan, takdir menemukanku dengan Mike. Pada mula mengenalinya, aku langsung tidak memperduli kehadirannya. Namun, Mike yang ketika itu dalam pencarian, dengan lembut menyapa dan mendekatiku. Aku terpegun dengan gerak-gerinya yang begitu manja.
Ya, Mike adalah kucing yang manja. Aku sememangnya tidak mampu untuk menolak kehadiran kucing ini yang begitu istimewa. Ku fikir, Mike pasti ada tuannya kerana luarannya yang begitu terjaga. Namun, mengapa ia merayau umpama mencari sesuatu yang tiada dalam hidupnya. Aku mencari jawapannya dalam kesamaran. Apa yang harus ku lakukan? Haruskah aku menjaganya? Haruskah aku mencari tuannya yang mungkin tidak mampu menanggung kehilangan teman istimewa seperti Mike? Aku bingung. Namun akhirnya ku putuskan untuk menjaganya kerana Mike terlalu istimewa. Buat beberapa lama, aku dan Mike amat gembira bersama.
Hinggalah suatu ketika, akhirnya ku mengetahui bahawa Mike adalah milik seorang wanita. Sudah tentu, wanita itu menginginkan Mike kembali. Aku harus memulangkannya. Namun, hatiku sudah terlalu dalam menyayangi Mike. Perlukah aku memulangkannya?
Dengan penuh pengharapan, aku bertemu dengan wanita itu. Dia nampak tidak begitu mesra setelah mengetahui Mike dibawah jagaanku. Namun, demi sayangku pada Mike, kugagahi meminta agar dapat sentiasa bertemu Mike lagi setelah memulangkannya. Dia tidak bersetuju dengan permintaanku. Baginya, aku boleh mencari kucing lain yang lebih hebat daripada Mike. Dia tidak mahu Mike bertemuku. Aku jadi bingung. Mengapa dahulu dia membiarkan Mike begitu sahaja? Mengapa mengabaikan Mike?
Ahhh...biarkanlah dia mengambil Mike. Sudah pasti Mike akan mencariku kemudian nanti.
Betul sangkaanku, Mike kembali mencariku. Ia sentiasa tahu dimana aku. Ia sayangkan aku. Begitu juga aku. Suatu hari, aku mendapat berita bahawa wanita itu sudah tidak mahu menjaga Mike lagi. Dia ingin membuang Mike jauh dari kehidupannya. Mungkin Mike terlalu banyak kerenah. Mungkin Mike banyak membuat dia marah. Mungkin juga Mike terlalu cerewet. Atau mungkin aku yang menjadi penyebabnya. Entahlah...yang pasti aku akan menjaga Mike semampu ku. Dapat ku lihat riak kesedihan dimata Mike yang jernih itu. Kasihan Mike. Aku cuba meminta wanita itu agar menerima Mike kembali tetapi dia sudah nekad mahu memulakan kehidupan baru bersama yang lain. Aku pasrah...Mike juga...
Segala keperluan Mike cuba ku penuhi. Suka dan duka kami tetap bersama. Kemana-mana pun berdua. Kadang-kala ia membuat ku marah, namun akhirnya kami tetap berbaik dan saat itu amat bermakna buatku. Mike kesayanganku...
Setelah sekian lama, wanita itu datang kembali dan menginginkan Mike semula. Aku terkedu. Perasaanku bercampur-baur. Aku tidak boleh marah kerana aku yang memisahkan mereka dahulu. Tetapi bagaimana jika Mike melupakanku? Haruskah aku berkongsi Mike dengan wanita itu? Akukah yang berhak atau diakah yang lebih berhak? Dia rasa bersalah menghalau Mike dari kehidupannya dahulu dan kini ingin menebus kembali kesilapannya. Namun bagaimana denganku? Aku juga menjaga Mike disaat ia terkapai-kapai sendiri.
Di saat ini, biarlah Mike yang menentukan dengan siapa ia ingin bersama. Mungkin Mike inginkan aku. Atu mungkin Mike inginkan dia. Harapanku agar Mike tidak melupakan kasih sayangku padanya. Aku lebih rela berkongsi Mike dari terus kehilangannya...
Aug 14, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment